Ringkasan Maqasid Syariah 2
Maqasid Syariah, atau objektif Syariah, merupakan prinsip-prinsip penting dalam undang-undang Islam yang bertujuan untuk mencapai kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat. Ia merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta. Prinsip-prinsip ini menjadi panduan dalam pembentukan undang-undang dan dasar yang adil dan bermanfaat untuk seluruh masyarakat.
Lima Prinsip Maqasid Syariah
-
Menjaga Agama (Hifz al-Din): Memelihara agama (ad-din) bermakna mengelakkan apa-apa yang mungkin melanggar dan memusnahkan asas-asas agama Islam. Ini termasuk mempertahankan negara dan kedudukan Islam sebagai Agama Negara, sambil memastikan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni. Konsep Hifz al-Din (Memelihara Agama) adalah istilah yang digunakan oleh para ulama fiqh bagi menjelaskan maksud memelihara agama dalam konteks maqasid shar'iyyah.

-
Menjaga Nyawa (Hifz an-Nafs): Memelihara nyawa (hifz an-nafs) adalah memelihara maruah, persaudaraan dan kesaksamaan sosial, keadilan, keselamatan hidup, harta dan maruah, pemerintahan yang baik, mengurangkan kadar kemiskinan dan memenuhi keperluan pekerjaan, pengagihan saksama pendapatan dan kekayaan, perkahwinan dan kehidupan keluarga yang stabil, perpaduan sosial dan pengurangan jumlah jenayah serta keamanan dan kestabilan. Sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan mengelakkan pertumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan menghadapi kemusnahan, manakala ketenteraman dan keamanan pula akan hilang.
-
Menjaga Akal (Hifz al-Aql): Pemeliharaan akal ertinya memberi perlindungan kepada akal manusia dari apa-apa yang akan merosakkan. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Semua unsur-unsur yang menjurus pada kehilangan dan merosakkan akal serta pemikiran seperti arak, dadah serta filem yang merosakkan, sudah semestinya dibanteras dan dihalang dengan segera. Selain itu, penyediaan infrastuktur dan system pendidikan yang holistic serta terbaik menjadi bagi membolehkan setiap rakyat mendapat pendidikan sempurna. Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan asas untuk mencapai kemajuan dan mewujudkan umat yang bertamadun.
-
Menjaga Keturunan (Hifz an-Nasl): Konsep memelihara keturunan melibatkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan. Ia adalah penting untuk membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan. Keturunan wajib dipelihara demi menjaga system sosial dalam masyarakat. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi agama dan tabi'ie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya, maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh jalur keturunan yang suci serta merosakkan maruah agama, bangsa dan negara.
-
Menjaga Harta (Hifz al-Mal): Memelihara harta bermakna melindungi kekayaan masyarakat daripada kehancuran dan dari peralihan harta ke tangan orang lain dengan cara yang tidak sah termasuk larangan terhadap ketidakadilan, menafikan hak dan sebagainya. Sebagai pemerintah wajib memelihara dan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak intelek, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan. Pembangunan ekonomi ini boleh dilakukan melalui pengukuhan sumber manusia, pendidikan, kemajuan teknologi, etika kerja, menggubal dasar-dasar kewangan dan fiscal yang betul untuk mempercepatkan pembangunan, akses kepada modal melalui pembiayaan mikro kepada golongan miskin, serta memberi pekerjaan dan peluang pekerjaan.
Kebebasan Beragama dan Dakwah Islamiyyah
Syariah memperuntukkan kebebasan kepada rakyat sebuah negara Islam untuk menganuti mana-mana agama. Ini adalah bertujuan untuk membebaskan manusia dari menjadi hamba pemikiran atau taqlid. Islam telah disebarkan melalui dakwah, bukan dengan paksaan. Dakwah disampaikan dengan cara yang berhemah, mengajak berfikir, bercerita, dan menggunakan pelbagai pendekatan yang berkesan.
Kesimpulan
Maqasid Syariah adalah prinsip-prinsip penting yang membimbing umat Islam dalam mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat. Dengan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta, masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dan sejahtera. Kebebasan beragama dan dakwah Islamiyyah juga memainkan peranan penting dalam memastikan prinsip-prinsip ini dilaksanakan dengan adil dan berhemah.